Dan setiap manusia telah Kami kalungkan amal perbuatannya di lehernya. Dan pada hari kiamat Kami keluarkan baginya sebuah kitab dalam keadaan terbuka 17:13

Archive for the 'General Musings' Category

wo men aini Allah (1)

Posted by fasihah on 5th January 2010

Hamdallah, pujian bagiNya. Tepat 31 Disember, merupakan akhir segalanya, dan 01.01.10 merupakan permulaan muhasabah diri yang tidak pernah sepatutnya terlupakan. Kembara mencari ruhil Islam yang sejak kebelakangan ini terbelakangkan, apabila ilmu tidak difikrahkan, apabila dosa dipandang sebelah mata, dan apabila semuanya tidak dijaga, bagaimana Allah (SWT) akan menjaga kita sehingga ke hari tua. Di mana, langkah kaki terketar-ketar dengan bantuan tongkat, itupun jika tangan ini yang laju menekan papan kunci berdaya memegang tongkat itu, apabila penglihatan makin kabur tatkala akomodasi berlebihan tidak mampu lagi menjalankan tugas alaminya.

Allahus somad. Allahu hafiiz. Jangan tinggalkan diriku lagi. Satu persatu amanah telah digalas di bahu ini. Insha Allah (SWT) hospital bakal tempat mencurahkan bakti juga dipilih bersandarkan, Kami perlukan waheeda di sini. Ya, saya lebih perlukan kamu semua dan dakwah. (Hmm, kenapa abah selalu sibuk. Selalu ke Sabah hampir setiap minggu..nak ikut)

***

Dahulu kala, di zaman Nabi Musa ada seorang lelaki meninggal dunia. Dia sangat fasik, hingga tak seorang pun penduduk kampung yang sudi menguburkan jenazahnya. Bahkan, jenazahnya diseret kemudian dibuang ke tempat kotoran unta. Lalu, Allah (SWT) menurunkan wahyu kepada Nabi Musa, ‘Hai Musa, ada seorang lelaki di kampung fulan meninggal. Jenazahnya dibuang di tempat kotoran unta. Dia adalah sebahagian daripada kekasihKu. Orang kampung tidak ada yang bersedia mengurusnya, maka uruslah. Segeralah engkau berangkat ke kampung fulan. Mandikan, kafan, solat jenazahnya, dan kuburkanlah jenazahnya”.

“Setelah mendapat wahyu, Nabi Musa segera berangkat. Kepada penduduk kampung, Nabi Musa menanyakan perilaku seharian si mayat semasa hidupnya. Ditanyakan pula, mengapa mereka memperlakukan si mayat sekasar itu. Jawab mereka ‘Dia mati ketika penduduk kampung sedang marah dan membencinya. Dia fasik, melakukan perbuatan maksiat secara terang-terangan’. Lalu Musa bertanya lagi, ‘Di manakah sekarang jenazah itu dikuburkan? Sebab Allah (SWT) telah memberikan wahyu kepadaku agar aku mengurusnya. Tunjukkanlah kepadaku di mana jenazah itu kalian buang? Penduduk kampung pun kemudian membawa Nabi Musa ke tempat pembuangan jenazah itu”.

“Nabi Musa menyaksikan sendiri keadaan jenazah yang dibuang di tempat kotoran unta, dan mendengar langsung cerita perilaku sehariannya. Lalu, Nabi Musa bermunajat, bertanya kepada Allah (SWT), ‘Ya Allah (SWT), Engkau memerintahkan kepadaku agar memandikan, kafan, solat jenazah dan menguburkan jenazahnya, padahal penduduk kampung menyaksikan bahawa semasa hidupnya dia selalu berbuat maksiat secara terang-terangan. Sungguh, hanya Engkaulah yang lebih mengetahui daripada apa yang mereka katakan”.

“Allah (SWT) SWT menjawab, ‘Hai Musa, memang benar apa yang mereka katakan. Dia adalah orang yang sangat buruk akhlaknya. Tapi, ketika sakaratul maut dia sempat minta pertolongan kepada Ku dengan tiga perkara. Seandainya semua orang yang berbuat dosa bersedia meminta pertolongan kepadaKu denga tiga perkara sebagaimana yang dilakukan si mayat, nescaya Aku memberikan ampunan atas dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Bagaimana aku tidak bersedia mengampuni, sedangkan dia minta ampunan kepadaKu. Bukankah Aku Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?’

“Nabi Musa bertanya lagi, ‘Ya Allah (SWT), apakah tiga perkara itu?’. Allah (SWT) SWT menjawab, ‘Tiga perkara itu adalah : pertama, ketika sakarat dia berkata: ‘Ya Allah (SWT), sungguh Engkau lebih mengetahui keadaan diriku yang selalu berbuat maksiat. Dalam hati kecilku, sungguh sangat membenci kemaksiatan yang aku lakukan. Tapi, kerana terpengaruh oleh tiga perkara yang selalu menyelubungi dan menggoda hatiku adalah hawa nafsu, teman bergaul yang jahat, dan iblis. Ya Allah (SWT), sungguh Engkau Maha Mengetahui segala perilaku yang telah aku lakukan, hingga berkenan kiranya Engkau mencurahkan ampunan kepada hambaMu yang bersimbah dosa ini’.

“Kedua, ketika sakarat dia berkata,’ Ya Allah (SWT), sungguh Engkau lebih mengetahui diriku telah banyak melakukan kemaksiatan, lantaran aku tinggal bersama orang fasik. SUngguh nuraniku mengatakan, bahawa aku tidak suka berteman dengan mereka, dan lebih suka berteman dengan orang yang salih. Lebih daripada itu, aku sangat menyukai sifat zuhud orang yang suka beramal salih, serta lebih senang duduk bersama mereka daripada duduk bersama orang fasik’.

“Ketiga, ketika sakarat dia berkata, ‘Ya Allah (SWT), Engkau lebih mengetahui tentang diriku. Sungguh orang fasik sangat memerlukan pertolonganku, demikian pula orang salih. Tentu, aku selalu mengutamakan kepentingan orang salih”.

“Dalam riwayat Wahab bin Munabih, lelaki tersebut ketika sakarat atau menjelang meninggal berkata, ‘Ya Allah (SWT), bila Engkau berkenan mengampuni dosa-dosaku, tentu para kekasihMu dan para nabiMu akan merasa bahagia, sementara syaitan beserta pengikutnya akan merasa sangat sedih. Sebaliknya, apabila Engkau tidak bersedia mengampuni, tentu para kekasihMu dan para nabiMu akan merasa sangat sedih, sementara syaitan beserta pengikutnya akan merasa bangga dan bahagia. Mereka tertawa, kerana berhasil menyeret diriku ke dalam jurang neraka. Sungguh, aku mengetahui bahawa kegembiraan para kekasihMu lebih Engkau sukai daripada kegembiraan syaitan. Ya Allah (SWT), aku berharap dengan penuh kesungguhan, agar Engkau berkenan mencurahkan ampunan kepadaku. Ya Allah (SWT), Engkau lebih mengetahui segalanya daripada diriku sendiri. Aku berharap, memohon kiranya Engkau mencurahkan belas kasih, dan menjauhkan seksa neraka daripada diriku yang berlumuran dosa’.

“Allah (SWT) kemudian menyampaikan pernyataan kepada nabi Musa, ‘Hai Musa, lantaran rintihan hambaKu yang berlumur dosa, kemudian Aku mencurahkan belas kasih, mengampuni serta melepaskan dia daripada seksa neraka. SUngguh Aku adalah Zat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, lebih khusus lagi kepada orang yang sedar dan mahu mengakui perbuatan disa yang terlanjur dilakukan. Hai Musa, kerjakanlah semua yang telah Ku perintahkan. Betapa mulia orang yang sedar kemudian bertaubat daripada dosa, hingga kemudian Aku mengampuni dosa-dosa yang dilakukan selama di dunia. Demikian pula Aku mengampuni dosa-dosa orang yang bersedia mendirikan solat jenazah dan menguburkan jenazahnya’.

Posted in General Musings | No Comments »

Pembuka Bicara Sufi

Posted by fasihah on 16th December 2009

Saya teringatkan kepada sesuatu. Sesuatu yang kadang-kadang membuntuti fikiran ini ke mana-mana dan kapan-kapan saja. Kematian akh Ariff.

Hanya pembuka bicara.

Soalan yang sama kerap kali saya utarakan kepada adik di Medan, tanpa saya sedari sebenarnya.

“Aqilah, akak ni orangnya macam mana, sebelum dan selepas Aqilah kenal?, suatu malam saya bertanya.

“Akak ni, soalan tu dah berkali-kali akak tanya”, jawabnya jujur. Oh, ye ke? Tanpa disedari.

Kadang, bersulamkan waktu, sedar atau di bawah alam sedar, kita sering mahu menjadi seseorang, apabila iman pada derajat tinggi, kita angan-angankan menjadi seorang Sumayyah atau Zainab al-Ghazali tanpa dipinta. Tetapi itu hanya sebentar sahaja, lantaran Tuhan telah menjadikan kita, turun dan naik imannya.

Untuk menjadi seorang yang penuh bergaya, tanpa dipaksa, tanpa ditanya, saya maukan warna warni pelangi untuk menjelitakan wajah saya, lantas hilang segala prinsip yang cuba ditanamkan dalam diri. Tapi, Islam itu tidak melarang, hanya bersederhana dan kemas dalam setiap gaya.

Oh, kenapa malam ini agak bernuansa puitis bahasanya. Saya bukanlah orang yang sebegitu sebenarnya.

Pagi Eidul AdhaPagi Eidul Adha, on call, makan nasi bungkus yang disedekahkan

“Pemuda ialah mereka yang memikirkan ummat lebih dari hal mereka sendiri” – Hassan al-Banna. Lantas Wahai Pemuda karangan sheikh Ikhwanul Muslimin ini sebenarnya ada titik tolak ukurnya yaitu diri kita sendiri. Apabila membicarakan soal serbi tentang Pemuda, bukanlah bermaksud ditujukan hanya untuk mereka yang bergelar seorang bakal suami atau remaja lelaki. Kita juga adalah tulang belakang baik dan buruk sesebuah daulah itu.

Tinggalkan sebentar mengenai karakter seorang Pemuda.

Ada seorang sister bertanya,

“Waheeda nak buat HO di mana?”, tanyanya dengan penuh minat.

Saya menjawab ala kadar, jawaban yang biasa diberikan dari mereka yang berjiwa keluarga dan bertanyakan soalan yang serupa kepada ukhti tersebut. Lantas di jawab dengan penuh makna,

“Kat mana naqibah d*** suruh, kat situlah d*** HO”, jawab seorang pemuda yang berjiwa besar. Kagum dengan sister yang seorang ini kerana latar belakangnya bukanlah dari sekolah agama. Hanya bersekolah biasa, pemegang biasiswa MARA dan pemain bola jaring di sekolahnya. Namun, titik tolak bermula dengan sebuah hidayah. Benarlah hidayah itu milik Tuhan. Dari yang berpribadi biasa-biasa sahaja, dengan tudung di atas dada, kini menjadi salah seorang figure hebat di bumi Nusantara ini. Subhanallah.

Jika tiada seorang pun yang mahu menggerakkan dakwah, biarlah seorang yang tinggal di atas muka bumi ini adalah aku, walaupun hanya seorang, kerana sudah sunnahtullah, ada yang datang dan pergi, dan mereka yang benar-benar thabat di atas jalan ini, akan diberi hidayah dan petunjuk olehNya.

Wallahua’lam

Posted in General Musings | No Comments »

Update

Posted by fasihah on 9th December 2009

There is something bothering me lately, which I really hope that Allah (SWT) makes it easier for me, insha Allah (SWT).

Wanna buy? 3 million Rp @ RM 1080 ~

Wanna buy? 3 million Rp @ RM 1080,  really not worth it ( dah lepas dah beli tiket PP ke Melbourne)

Posted in General Musings | No Comments »

Omelan….

Posted by fasihah on 24th August 2009

Original artikel dari kak Aishah Dundee..sayang akak (“,)

‘ Do you go out at night aisyah?’

Gayanya seperti sosok seorang wanita yang moden. Pipinya bermekap jambu. Keningnya dilukis lentuk. Bulu keningnya ikal menampakkan wajahnya yang menawan. Di balik rerambut yang hitam itu ada garis-garis perang yang mengimitasikan gaya hidup barat.

Aku melihatnya dan terpaksa kuakui, dalam usianya 22 tahun, dia memang seorang pakistani born british yang cantik.

‘You mean , going out for movies and stuffs?’

Aku bertanya naif.

‘No, i mean like , going out for pubs and clubbing?’

Terkadang aku kaget bila ada orang tak dapat membaca perwatakan orang lain, ataupun tidak dapat mengagak kehidupan orang lain dengan penampilan luaran mereka.

Aku cuba berpakaian mengikut tatacara seorang muslimah, bertudung bawah dada dan berpakaian selonggar mungkin.( Pernah ditegur oleh dua orng ikhwah satu masa dahulu kerana berpakaian tidak cukup longgar. Malu sungguh!)

Adakah tidak cukup aku berpakaian sebegini untuk menunjukkan aku tidak pernah tahu bagaimana rupa sebuah kelab malam walaupun telah bermastautin di negara ini 6 tahun yang silam?.

‘No, I don’t do clubbing.’

Tergerak hati aku untuk bertanya akan perihal diri dia. Dan tentu aku tidak akan terkejut mendengar jawapan yang bakal terbit dari bibirnya itu..

Sebelum sempat aku membuka mulut, dia berkata,

‘ I know it felt so wrong and i felt bad about it, but i do clubbing. And I enjoy it quite a lot. I really do……. and the most thing i feel bad about is… I am drinking too!’

Dan dia meneruskan lagi, ‘ I know should not have drinking. I know its bad. Everytime I drink, I regret it, but then when I went clubbing, I kept drinking again….’

Pernah kita berada dalam situasi begitu?

Abu Abdillah An-Nu’man bin Basyir  Radhiallahu Anhu berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Ala Alihi Wa Sallam bersabda :

Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat pekara-pekara yang syubhat yang tiada diketahui oleh kebanyakan manusia.
Barangsiapa yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubhat itu, maka dia telah melindungi agama dan kehormatannya dirinya. Dan barangsiapa yang tergelincir ke dalam pekara syubhat itu berarti ia tergelincir masuk ke dalam perkara haram.
Laksana seorang penggembala di pinggir sebuah daerah larangan, yang akhirnya masuk ke dalam daerah larangan itu. Ketahuilah sesungguhnya bahwa setiap raja mempunyai daerah larangan, Ketahuilah, sesungguhnya daerah larangan Allah (SWT) itu adalah pekara-pekara yang diharamkanNya.
Ketahuilah, dalam setiap tubuh itu ada segumpal daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh tubuh itu dan jika ia rusak maka rusaklah seluruh tubuh itu.  Ketahuilah, Itu adalah hati
(HR. Bukhari dan Muslim)

Hadis ini terdapat banyak ibrahnya.

Pertama, dia menjelaskan yang di dunia ini wujud tiga situasi sahaja: Haram, halal dan syubhat.

Sebagai muslim. Semua kita tahu mana yang halal yang mana yang haram.

Kita tahu kahwin halal, zina haram. Tahu air susu halal, arak haram. Tahu berniaga halal, riba haram.

Tapi yang paling ramai struggle untuk tahu adalah antara keduanya ; SYUBHAT.

Pergi clubbing dan pub, memang nampak obviously haram sebab ada benda2 haram dijual di situ, tapi sebab tidak ada label HARAM yang jelas dalam Islam, maka ramai muslim mengiakan diri mereka untuk pergi, demi sebuah hiburan dan juga keseronokan yang fana.

Bercoupling misalnya, walaupun telah wujud banyak kesedaran dalam masyarakat tentang haramnya coupling, tapi ramai membenarkan hubungan di luar perkahwinan itu. Malah tidak boleh menerima haramnya coupling.

Sebab masyarakat kita kalau disebut haram sahaja, terbayangkan babi, terbayangkan arak dan zina.

Sedangkan tentu, perkara-perkara yang membawa kepada perkara haram itu turut haram juga.

Namun Al-quran sebenarnya membentuk hati kita dengan lembut dan baiknya sekali.

Tentang pengharaman arak misalnya, Allah (SWT) tegur lembut sebanyak tiga kali sebelum benar-benar mengharamkannya.

Begitu juga perkara yang lainnya.

Sebab itu para sahabat zaman dulu tak rasa berat meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan, kerana hati mereka telah melekat dengan Allah (SWT) dan sanggup buat apa sahaja untuk Allah (SWT).

Sebab itu dalam kita mentarbiyah diri kita dan masyarakat untuk membuang perkara-perkara jahiliyah dalam diri, perlulah didik dengan tarbiyah quraniyah, merasai hati ini dilentur dan diketuk dengan hidayah Allah (SWT).

Baru senang dia nak tanggal perkara-perkara haram dalam dirinya!

Kedua, Allah (SWT) Taala memiliki taman larangannya:

Ketahuilah sesungguhnya bahwa setiap raja mempunyai daerah larangan, Ketahuilah, sesungguhnya daerah larangan Allah (SWT) itu adalah pekara-pekara yang diharamkanNya

Dan cara kita untuk elakkan diri dari masuk tanah larangan Allah (SWT) ini adalah:

Barangsiapa yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubhat itu, maka dia telah melindungi agama dan kehormatannya dirinya. Dan barangsiapa yang tergelincir ke dalam pekara syubhat itu berarti ia tergelincir masuk ke dalam perkara haram.
Laksana seorang penggembala di pinggir sebuah daerah larangan, yang akhirnya masuk ke dalam daerah larangan itu

Tapi kita selalu kalah dengan nafsu kita. Dan tidak sedikit kita sentiasa menghalalkan sesuatu hanya demi untuk membenarkan apa yang nafsu kita kata.

Sedangkan AlQuran mengajar hati kita akan sesuatu yang lebih bermakna dan agung…

Allah (SWT) comes first before anyone else.. including us..

Sebab itu nak elak jatuh ke dalam kawasan larangan Allah (SWT), pelihara diri kita dari perkara-perkara syubhat, sebab perkara-perkara syubhat ini biasanya lebih cenderung untuk jatuh kepada perkara-perkara yang haram di sisi Allah (SWT).

Begitu juga dengan fitrah sebuah cinta.

Memang normal bila kita menyukai seseorang. Fitrah manusia tentu akan suka disayangi dan mahu pula memberi hatinya pada orang lain. Apatah lagi dengan yang berlawanan jantina.

Teringat saya kata-kata seorang ukht:

Dahulu bila akak pernah tersuka kat mana-mana brothers/lelaki, akak akan solat istikharah banyak-banyak. Kalau betullah dia jodoh untuk akak, Allah (SWT) akan mudahkan akak menuju perkahwinan itu, jika tidak, maka akak minta Allah (SWT) buang perasaan suka akak pada dia.

Dan Alhamdulillah, lepas akak istikharah, mmg bukan dia jodoh akak, akak dah takde dah perasaan itu pada dia. Hilang! Malah dah tak ingat pun perasaan suka itu pada dia.

Dan Alhamdulillah, ukht itu mendapat suami yang terbaik bagi dirinya, seoarang al-akh mujahid dakwah yang diidami cirinya-cirinya oleh semua akhawat yang melayari bahtera dakwah ini.

Dan tidak saya lupa kata-katanya, sepanjang urusan khitbahnya, tidak pernah semalam pun dia meninggalkan istikharah.. Masyallah!

Sebab itu, jika kita terjebak dalam perasaan suka/cinta ini, istikharahlah, dan mintalah panduan pada Allah (SWT), adakah dia yang terbaik untuk diri kita dan dakwah kita.

Insyaallah, jika dia yang terbaik buat kita, Allah (SWT) akan mudahkan. Jika tidak Allah (SWT) akan hilangkan perasaan kita itu pada dia.

Dan jika betul signal dia ( wah, macam antenna pula..huhuhu), ikutlah saluran yang sepatutnya. Melalui naqibah misalnya ataupun ibu bapa kita sendiri. Tidak sedikit juga orang yang meminta teman rapat yang sudah berkahwin untuk menolong dalam urusan baitul muslimnya.

Walaupun dengan niat untuk bertaaruf di awal peringkat BM, perlulah pintu-pintu syubhat itu ditutup, apatah lagi dikalangan mereka yang mahu mengangkat panji daulah Islam ini.

Dan cara paling ampuh untuk menutupnya adalah melalui orang tengah dan ketiga. Jika benar-benar ikhlas, bersungguh-sungguh, dan benar kerana Allah (SWT), insyaallah inilah jalan yang terbaik untuk ditempuhi demi menuju perkahwinan yang lebih barakah.

99% akhwat yang berBM menasihati saya,

‘ Pengakhiran baitul muslim yang baik, bermula dari permulaan yang baik, yang tidak dihiasi dengan maksiat.’

Terkadang kita rasa tak apa kita laksanakan sesuatu. Kita wujudkan pelbagai alasan untuk benarkan perbuatan kita. Dan kita rasa kita buat semua itu kerana Allah (SWT). Tapi mungkin hati kita telah dikilaukan oleh kilauan syaitan yang sentiasa menguji titik lemah kita. Dan di situ syaitan akan mengiakan/membenarkan tindakan kita itu, walaupunn tindakan itu menyebabkan kita lebih jauh dari Allah (SWT) tanpa kita  sedari sedikit pun.

Namun Allah (SWT) lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Bila kita menjaga Allah (SWT), Allah (SWT) akan jaga kita, dan berika yang terbaik untuk kita, insyaallah…

Alamak, dah topik lain dah ini… inilah akibatnya update blog pada tengah malam!

Maaf caca cerba especially utk adik-adik kesayangan saya.. Moga antum beroleh manfaat dari entry tak seberapa ini.

Point paling penting dari hadis tadi, kalau nak elakkan benda-benda haram, haruslah kita elakkan diri kita dari perkara syubhat.

Perkara syubhat inilah perkara yang tidak jelas hukumnya. So better elak before terkena ok?

PS: cinta terindah bila semuanya berpaksi pada Allah (SWT), dan berada di bawah syariatnya..

Salam sayang,

aisyah

glasgow

12am

Posted in General Musings | 2 Comments »

Green Leaf

Posted by fasihah on 1st May 2009

Maaf dakwah,
saya ada perkara lebih penting utk kepentingan awak juga
 
saya tak dapat nak usrah esok,
sebab esok saya ada deadline siapkan kertas kerja yg boss saya minta
maklumlah, ini utk awak juga
kena jaga sihir sebab dakwah perlukan duit juga
dan kerja sihir saya memang sangat menimbun-nimbun tak terhingga
 
saya tak dapat nak ikut katibah hujung minggu ni
sebab hujung minggu ni family saya nak sambut birthday saya,
maklumlah, ini utk awak juga
kena jaga hati family sebab nanti tak boleh nak keluar ke program pula
dan family saya memang perlukan komitmen saya
 
saya tak dapat nak attend jaulah bulan ni
sebab saya kena pergi ke family day company saya
maklumlah, ini untuk awak juga
kena jaga rapport dengan kawan sekerja sebab nanti mereka ingat pendakwah kera sumbang semuanya
dan kawan sekerja saya semuanya perlu saya jaga hatinya
 
saya tak dapat nak join mukhaiyam tahun ni
sebab kawan baik saya nak walimah
maklumlah, ini untuk awak juga
kena pastikan kawan baik tak larikan diri, nanti saya nak DF siapa?
Itulah saja kawan baik saya di dunia
 
Maaf dakwah,
Setiap kali awak perlukan saya, saya diperlukan oleh perkara lain
Maklumlah, itu semua untuk awak juga
Lagipun ada orang lain boleh gantikan saya
Saya bukannya ada apa-apa tugas besar pun
 
Maaf dakwah,
Saya tak boleh nak dakwah dah
Saya rasa tak welcomed la dengan mereka
Saya rasa nak rehat sekejap la dari semuanya
Naqibah saya tak retilah nak cater saya dalam usrahnya
Saya rasa penatlah nak handle macam-macam perkara
Saya akan contribute dari sudut material saja nanti ya
 
Ohh maaf dakwah,
Saya tak boleh nak infak dah sekarang
Suami saya tak suka,
Anak saya perlukan duit saya juga
Kereta saya, rumah saya, bil bil saya semuanya perlu dilunaskan
Maaf ya dakwah. Maafkan saya ya.
semoga awak terus berjaya

Posted in General Musings | No Comments »

“Usrahku”, ummahku

Posted by fasihah on 26th February 2009

“Mak, mak perlukan banyak doa dari sekadar cakap-cakap. Saidina Ali pernah bersabda, didiklah anak mengikut zamannya”, ujarku.

Jam hampir menunjukkan 2 pagi. Mata belum diserang kantuk. Sudah 8 bulan tidak menatap wajah bonda tersayang, membuatkan diri diserang ghairah yang luar biasa. Sabtu lalu, setengah jam sebelum 8.10 malam, bersamaan dengan penerbangan ke Kuala Lumpur dari Medan, dengan tergesa-gesa, baru diri ini sampai dengan selamatnya dengan menaiki beca. Sebelum itu, tidak lupa dengan pesanan emak, membawa pulang brownies dan ayam penyek pulang, khas untuk orang rumah.

Sabtu, pulang ke Malaysia, Ahad pulang ke Medan, tidak pernah dibuat orang. Kalah dari KL ke Penang. Tidak mengapalah.

Suara hiba emak mengenangkan anak-anaknya yang sedang melalui liku alam remaja sebelum sampai ke alam matang dewasa membuatkan diri tidak senang duduk. Bercampur baur perasaan. Adik-adik, satu persatu wajah yang disayangi terbayang-bayang di ruangan minda ini.

Kedengaran bunyi HP adik yang seorang ini, baru menginjak ke tingkatan dua di sebuah sekolah Islam asrama penuh. Sambil membelek-belek sms yang tertera, diri ini menggelengkan kepala. Baru pecah suaranya.

“Bila ajim pecah suara?”, tanyaku ingin tahu.

“Selepas sunat baru ni”, ujarnya. Badan yang agak gempal tidak memberikan keizinannya dari segi medik untuk dikhatankan awal mengikut nasihat doktor yang berpengalaman.

Adikku sudah remaja rupanya. Aku pegang-pegang tangannya yang montok, badan yang selalu menjadi mangsa pelukan dulu kala.

“Letak di hujung kepalanya, di hujung katil”, emak berpesan.

“Betul-betul di hujung katil?”, aku bertanya inginkan kepastian, sambil menunjuk screen hp di atas atau di bawah, bimbang dia menghidu HP nya diusik.

Emak mengangguk.

“Budak-budak zaman sekarang, keluar malam main futsal dengan kawan-kawan. Keluar jam 12 malam, balik sebelum Subuh. Mak teringat ada hadis, mak bukan saja-saja cakap. Banyak kejahatan berlaku pada waktu malam”, sayu suara emak.

Aku mengiyakan sahaja, dengan sebab itulah Allah (SWT) menjadikan malam untuk menutup kejahatan yang luar biasa, zina, dating, kaki disko, atau apa sahaja perlakuan kemungkaran yang melebihi keredhaan Allah (SWT).

“Duduk dengan kawan-kawan, minum-minum, buang masa macam tu je. Baru ini, cikgu dia called. Ajak minum. Kehidupan dia macam tulah. Senang jekan”. Tambah emak.

“Don’t spoil him”, emak seakan merayu. Aku mengerti.

 “Entahla mak. Ada kawan da juga. Kalau dia pulang pun, kawan-kawan ajak keluar, dia keluar, malam-malam”, aku keliru.

“Dengan facebooknya, Friendster la, zaman tak macam dulu lagi mak. Susah nak control. Dengan HPnya. Sekolah pun tak boleh buat apa. Dengar ada yang kena buang sekolah 2 couples, outing ke Sunway Lagoon. Mak dia tak sedap hati, called pihak sekolah. Baru budak sekolah agama”, ujarku.

“Kakteh baru ni jumpa *** kat shopping complex dengan girlfriend dia. Tahu pula nak sorok-sorok nampak kakteh”, kakteh pula menyampuk.

Perbualan tiga anak beranak di keheningan malam membincangkan masalah ummah, tidak perlulah lihat jauh, di dalam institusi keluarga kita, hatta di dalam diri juga, belenggu masalah ummah berlegar-legar.

“Bukan dia maahad tahfiz ke?”, tanyaku ingin kepastian.

Kakteh mengiyakan. Sedihku hanya Allah (SWT) yang tahu, kerana kegagalanku tidak berjaya mendidik adik-adik kandung tersayang, sedangkan yang tidak sedarah daging aku berusaha seperti separuh mati.

“Sport, sex, food, fun, itu semua taktik orang Yahudi”, emak memaklumkan.

“Ghazwul fikr”, aku menambah. “Emak, taknak kahwin. Da takut. Anak-anak, zaman akan datang tak tahu macam mana”.

Aku tahu dengan statement yang dibuat, tiang arasy Allah (SWT) akan bergegar.

“Dari akhir tanda zaman, perempuan tidak melahirkan anak. Dari dulu Allah (SWT) dah tahu”, emak memaklumkanku.

“Imam Shafie bersabda, jangan ramaikan anak akhir zaman ini. Sukar untuk dididik”. Kak teh menyampuk sekali sekala.

Teringat 100 target yang baru aku buat, antaranya, minimum 8 orang anak!

“Kak teh malasla. Biarla diorang”.

“Kalau kak teh malas, takpe. Biar emak je yang care, kak teh tak perlu pening-pening”. Sayang seorang ibu, aku pasti yang itu.

Sebelum itu di meja makan, adikku yang ketiga bertanya, “Dia umur berapa emak?”.

19 tahun.

“Umur 20 tahun nanti insha Allah (SWT) ok”, dia menyuarakan pendapatnya dengan tenang.

Aku pernah melalui zaman remaja, zaman yang baru berakhir, zaman kejahilan, zaman peer to peer relationship, zaman ‘kebebasan’, atau zaman bercinta. Syukur zaman itu sudah berlalu! Namun terasa rugi, tidak seperti Usamah yang sudah menjadi panglima perang ketika berumur 17 tahun.

Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Satu persatu masalah, aku juga turut terasa tempiasnya, turut merasa tanggungjawab teralas di bahuku.

Pagi-pagi, emak mengejutkanku Subuh.

Jam 9 lebih, aku dan emak, berdua ke Mydin, sambil bersarapan di sana. Nasi lemak, soya bean hidangan pilihanku, emak pula memilih bihun dan mie. Aku memilih barang-barang yang tidak perlu untuk mencukupkan berat beg 20 kg yang awal-awal lagi sudah ditempah.

Pulang, aku dan abah ke Digital Mall di PJ, baru dibuka seperti Low Yatt berhampiran Bukit Bintang, dekat dan tidak ramai orang. Sementara, kak teh dan 2 orang adikku yang lain memandu kereta yang berasingan, mudah kata abah. Tujuan aku satu, LCD untuk kerja dakwah hasil infaq harus ku beli.

Wang masih belum cukup.

“LCD ni untuk apa?”, abah bertanya.

“Untuk aktiviti usrah abah. Abah nak infaq tak? Tak cukup lagi RM 400. Kalau abah infaq, da tak balikla bulan 3 ni”, ujarku. Akhirnya, abah memilih EPSON, membayar cash dan kad kredit. Wall screen 6’ x 6’, percuma.

Jam 5 petang, aku sampai di LCCT. Emak, abah, kak teh dan 2 adik yang lain turut menghantar aku. Salah seorang adikku juga akan pulang semula ke Auckland, rabu ini. Jauh benar dia dari dulu.

“Kalau tak sebab dia, rumah ni bersepah. Dia yang basuh pinggan, masak nasi, kemas rumah”, ujar emak. Dia seorang lelaki, itu yang membuatkan ku kagum.

Entah kenapa, hati ini sayu. Sayu kerana tidak mampu meringankan beban emak dan abah mendidik dan membelai adik-adik. Entah kenapa, akhirnya mata ini gugur buat kali kedua sejak pulang setelah mendapat berita kematian Tok Ba.

Aku menangis teresak-esak.

Kakteh, F, H, S, H,; kakngah sayang sangat adik-adik kngah. Sayang sangat.

“Rabbana hablana min azwaajina wa zurriyatina qurrata a’yun wa ja’alna lil muttaqina imaama”,

Istajib dua’ana ya Allah (SWT).

Posted in General Musings | 7 Comments »

LELAKI…

Posted by fasihah on 1st February 2009

Rindu adik-adik Padang dan sis Jakarta. Kapan mau turun ke Medan lagi? Bersabarlah atas fitnah, dan mehnah yang menimpa.

Dulu,

Bila disebut lelaki,

Wanitanya mendongak megah,

Lelaki kami Asadullah, Saifullah,

Tokoh ramai tak terkira,

Kini,

Bila disebut lelaki,

Wanitanya menunduk lemah,

Tokoh kami sedikit sekali,

Ramainya, boneka Yahudi.

 

Dulu,

Bila disebut lelaki,

Wanitanya tenang di hati,

Lelaki kami menjaga, melindungi,

Kini,

Bila disebut lelaki,

Wanitanya mahu cabut lari,

Lelaki khianat, perogol bersiri.

 

Dulu,

Bila seorang wanita teraniaya,

Sepasukan kuda putih membela,

Al-Mu’tasim kebanggaan wanita,

Kini,

Ribuan wanita suci dipenjara,

Lelaki tunduk tak bertenaga.

 

Dulu,

Bila wanita di bawah jagaannya,

Lelaki memagari sehabis daya,

Tiada siapa berani  menggoda,

Kini,

Bila wanita di bawah jagaannya,

Lelaki tak kisah auratnya terbuka,

Wanitanya dibiar bebas, binasa.

 

Dulu,

Lelaki menggadai harta dan nyawa,

Untuk mengangkat kemuliaan agama,

Kini,

Lelaki menggadai ketinggian agama,

Demi nafsu, dunia dan seisinya.

 

Dulu,

Lelaki bermatian mencipta sejarah,

Kental berjihad, tekun berdakwah,

Kini,

Lelaki hanya menyanjungi  sejarah,

Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.

 

Dulu,

Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,

Al-Farouq, Zunurain mati terbunuh,

Kini,

Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,

Hingga sanggup membunuh.

 

Dulu,

Lelaki bersatu menghadapi musuh,

Angkatannya kuat dan teguh,

Kini,

Lelakinya berpuak dan berpecah,

Sesama sendiri saling bertelingkah.

 

Kembalilah lelakiku,

Pada kelakianmu,

Kami rindukan lelaki dulu,

Acuan Madrasah Rasul.

 

Srikandi,

Damsyik, Syria,

Syabab Musafir ; Fatimah Syarha

Posted in General Musings | 1 Comment »

Aku bercakap tentang cinta

Posted by fasihah on 1st January 2009

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Sambil duduk-duduk tadi di RS Pirngadi which was built in 1928 (kalau tak silap), there was a call for my friend. After a long chit chat, I thought Anggraes (chinese indo) only want to wish happy new year, and suddenly the hp was in my hand.

Kenapa ye? ..

 

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

 

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

 

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

 

Hp saya akan dikembalikan oleh penemunya. He/she called Anggraes to inform her, my lost hp was found after nearly 3 weeks.

 

7bcb_2.JPG

 

 

I lost my hp in this public transportation (when I take off my labcoat), we called it angkot or sodako (no bus in Medan, only for tourist for keliling Medan)

 

angkot.jpg

 

Daily, took this kind of angkot (sort of) to PP (pulang-pergi) rumah sakit.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Kasih sayang Allah (SWT) terbit dalam pelbagai cara kan?

*********

Sekali lagi entry yang panjang. Tak tahula kenapa, mungkin apa yg tersirat di hati telah lama terpendam (kali ni bukan entry dari saya).

 

Biismillahirrahmanirrahim….

Sangat-sangat ganjil rasanya ketika menulis post ini. Kebanyakan ‘post-post’ku sebelum ini berkisar tentang tajuk-tajuk ilmiah dan penghuraian fakta agama mengikut cara berfikirku. Jarang sekali aku menulis tentang pengalaman mahupun ‘diary’ku di blog ini. Namun, hari ini terdetik untuk menulis sesuatu yang luar dari kebiasaanku, iaitu kehidupanku. Mungkin sedikit aneh untuk dibaca, tetapi atas dasar ‘perkongsian pemikiran’ yang aku tanamkan ketika mula-mula ingin menulis di blog, aku ingin berkongsi…

Aku sebak……

Kehidupanku mula berubah semenjak keberadaaanku di Intec, Pusat Persediaan Pelajar Ke Luar Negeri di Shah Alam. Aku diperkenalkan dengan agama yang bukan warisan. Aku diingatkan untuk mencari siapa Tuhan. Aku dikelompokkan dengan hamba-hamba yang dambakan kebenaran. Namun, di sebalik kehidupan sebegitu aku terjumpa si dia. Hatiku sering menolak untuk mengenal, merapati, apatah lagi bertemu si dia. Namun imanku masih lemah untuk menolak kewujudan fitrah. Aku gagal. Entah mengapa kenangan ini mengundang airmata yang tidak dapat ku tahan. Aku mohon ampun Ya Allah (SWT)

Ya Allah (SWT), kenapa Kau biarkan aku dengan ujian beratMu itu???

Kenapa Kau lemahkan aku dengan cabaranMu itu???

Hanya milikMu lah airmata ini…

“Mak, orang nak kahwin. Boleh tak, mak?”

“Ish, kamu jangan nak mengada.”

Mungkin aku belum cukup matang pada pandangan ibuku untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami, untuk memimpin sebuah keluarga, apatah lagi menjaga hal ehwal anak gadis seseorang. Aku pasrah. Aku bertekad untuk berubah. Aku tetap diriku, namun aku berusaha untuk menunjukkan kecerdasan dan kematangan berfikir. Aku berubah dari seorang yang selalu tidak serius kepada orang yang lebih ‘dewasa’. Aku berubah dari seorang yang malas mengemas dan mengatur bilik kepada seorang yang lebih tersusun. Aku berubah dari seorang yang ‘sendiri’ kepada seorang yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap orang lain. Kebanyakan masalah dalam keluarga dan adik beradikku, aku pasti menyumbang idea untuk menyelesaikannya. Perubahan ini bukan sekejap. Setelah berjuang mengubah diri, aku bertanya lagi…

“Mak, orang ada kawan dengan seorang perempuan ni. Orang rasa orang nak jadikan dia sebagai isteri. Kalau boleh, orang nak kahwinla mak. Apa pendapat mak?”

Mata ibu sayu memandang wajahku. Mungkin terasa akan kehilangan seorang anak yang dilahirkannya. Mungkin terasa akan ‘berjauhan’ dari anaknya. Mungkin sebak memikirkan pengorbanannya sepanjang menjaga dan membesarkan anak lelakinya ini.

“Mak takde duit. Kamu ada ke duit nak kahwin ni?”

Aku kecewa lagi…

Betapa beratnya seksaan dan ujian yang ku tanggung sepanjang ‘persahabatan’ku dengan si dia. Betapa pedihnya diri ini memikirkan dosa yang ku’rutini’. Betapa sayunya hati ini menangis menahan malu di depan Ilahi…

Ya Allah (SWT), Kau tahu dosaku.

Ya Allah (SWT), aku benci diriku. Aku benci dosaku. Aku berazam!!!

Ya Allah (SWT), kasihanilah aku…

Entah kenapa aku sering menangis, mataku sering basah memohon keampunan dan petunjukNya.

Ke seberang laut aku menuju, meninggalkan keluarga, dan si dia di Malaysia. Aku mengumpul duit. Biasiswaku di Indonesia ini dirancang sebaik mungkin. Makanku tidak terurus, aku sering berkorban untuk tidak makan dengan mewah. Cukuplah jika ianya dapat mengisi perut, menjadi tenaga untuk meneruskan kehidupan. Biarlah diri ini merasakan kelaparan dan kesusahan sepertimana orang-orang yang berjuang di jalan Allah (SWT). Ya, aku rasakan diriku sedang berjuang di jalan Allah (SWT). Mengumpul duit untuk mendapatkan pernikahan yang halal. Sekembalinya ke Malaysia setelah setahun, aku disambut dengan pelukan rindu seorang ibu.

“Ya Allah (SWT), kurusnya ko ni erol… Dengan rambut panjangnye… Apa ko buat kat Indonesia tu, ko tak makan ke…”,

nada ibu bersahaja namun riak mukanya cuba menyembunyikan kepiluan. Cukup ku fahami. Dia menahan sedih. Anaknya tidak makan dengan enak, tidak makan dengan selesa, tidak makan dengan gembira. Dia tahu walau tanpa kata-kataku. Ibu bersedih di dalam hati, terasa dengan perbuatanku.

Arghhhh! Aku menyedihkan ibu lagi!

Dia tahu aku sedang mengumpul duit. Dia tahu apa yang didalam hatiku. Seorang ibu boleh menyelami hati anaknya. Seorang ibu sangat mengenal setiap sudut hati anak-anaknya.

“Mak, jom teman orang gi kedai emas yang mak selalu pegi tu.”

“Nak buat apa?”

“Nak beli cincin”

Ibu diam seribu bahasa, mengikut sahaja tingkah laku anaknya. Mungkin diam tanda setuju, mungkin juga diam tanda faham kedegilan anaknya. Di sana, ibu yang memberikan pandangan. Dia juga yang membuat pilihan. Alhamdulillah, kubeli cincin belah rotan emas berselang emas putih.

“Mak, boleh panggil ayah? Nak bincang sikitla..”

Ayah adalah rujukan terakhir, kerana dia selalunya bersikap memerhati dari jauh perkembangan anak-anaknya tanpa melibatkan diri jika ianya tidak mustahak. Tetapi sememangnya sebagai memegang watak ‘ketua keluarga’, sebarang keputusan, dialah yang akan memberikan pendapat, pandangan, dan usul-usul yang menurutnya adalah yang terbaik. Ayahku memang seorang yang ‘cool’ dan berfikiran jauh.

“Mak, ayah, orang harap mak dengan ayah janganlah marah orang nak cakap ni. Orang ada berkawan dengan seorang perempuan ni. Dia orang **, mak ayah dia orang **. Orang kenal dia kat Intec dulu. Orang rasa orang serius dengan dia, dan orang nak jadikan dia sebagai isteri orang. Bukan apa, orang tak sedap hati berkawan dengan dia tanpa ada sebarang ikatan apa-apa. Orang tau mak dengan ayah takde duit, orang tak nak menyusahkan mak dan ayah. Orang ada kumpul duit sikit. Ni orang dah beli cincin, orang harap mak dengan ayah boleh pergi berjumpa dengan family dia, kita boleh kenal-kenal dan bincang-bincang…”

Mataku berkaca lagi…

Ayah memberikan hujah-hujahnya, ibu hanya memandang sayu. Tidak inginku membiarkan airmataku mengalir di depan mereka. Percakapanku tersekat-sekat, aku sebak. Airmataku ku tahan, emosiku ku kawal. Bukan kerana keinginan dan pendapatku ditolak, tetapi kerana aku merasakan telah mengecewakan kedua ibubapaku. Mereka merasa seperti aku tidak menghiraukan keinginan mereka untuk melihat aku menghabiskan pelajaranku dahulu. Aku punya hujah dan sebabku tersendiri kenapa aku ingin berkahwin namun begitu aku tetap berasa bersalah. Aku yakin keputusanku benar. Tetapi keputusan mereka tidak boleh dianggap salah. Mungkin dengan perbuatanku itu tadi membuatkan mereka dianggap salah.

Tidak mak, ayah… Kamu berdua tidak salah…

Saya yang salah…

Arghhhhh!!! Aku buat mereka sedih. Anak apakah aku ini!!!

Pandanganku benar, penilaianku benar, perkiraanku juga benar, kerana aku telah mempelajari agamaku dengan bersungguh-sungguh. Tetapi pandangan mereka tidak salah. Pandangan seorang wanita yang membawa ‘beban tambahan’ dibadannya selama lebih sembilan bulan. Pandangan seorang manusia yang kurang tidur dan rehatnya selama lebih tiga tahun. Pandangan seorang lelaki yang membawa rezeki ke dalam rumahtangga semenjak berpuluh-puluh tahun. Pandangan seseorang yang telah berkorban tanpa impikan balasan. Pandangan manusia yang paling dekat dengan kita setelah 22 tahun.

Ya Allah (SWT), kenapa Kau uji kami yang mengharap redhaMu?

Ya Allah (SWT), kenapa terlalu berat ujian yang melanda kami?

Ya Allah (SWT), kenapa terlalu lama kami dibiarkan diuji?

Kenapa Ya Allah (SWT)

Akhirnya keputusan diambil. Kami berpisah.

Jagalah dirimu. Hiasilah peribadimu dengan ilmu-ilmu agama. Dekatkanlah dirimu dengan Sang Pencipta. Semoga dengan pengorbanan kita ini, berkorban demi kebahagiaan kedua ibubapa, menghasilkan natijah hubungan yang diredhai seterusnya kelak melahirkan generasi yang diimpikan Nabi. Kita berpisah…

Mungkin inilah yang terbaik. Disunnahkan anak Adam untuk menyempurnakan sebahagian agamanya dengan bernikah. Namun kata Nabi Penghulu Segala Nabi, jika kamu tidak mampu, berpuasalah. Ya, berpuasa. Insan Mulia mengajar kita berpuasa. Di samping berpuasa zahiriah, aku bertekad untuk berpuasa batiniah. Tiada lagi si dia di hati. Cukuplah Allah (SWT) menjaga, mengambil berat, memberikan kasih saying kepada si dia. Aku dan dia hanya halal setelah pernikahan. Akan tiba suatu masa nanti kita kembali bersatu, di atas tali pernikahan, di atas senyuman restu ayah dan ibu.

Keputusan yang berat, pedih, dikala melihat sahabat-sahabat lain dipermudahkan urusan pernikahan mereka. Aku redha.

Titisan airmataku mengalir lagi…

Ampuni daku Ya Allah (SWT). Berikanlah daku syurgaMu, kurniakanlah pada diriku RedhaMu.

Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

 Dr Radzi

Posted in General Musings | No Comments »

Sepintas lalu…

Posted by fasihah on 28th November 2008

Saya rindukan penulisan. Rasanya sudah lama tidak menyentuh papan keyboard ini. Sedikit sebanyak canggung untuk menentukan gaya dari bahasa, dari hati ke hati.

Hampir  5 minggu di sini, di bagian interna, banyak yang saya lalui, banyak juga yang saya perolehi. Suka, duka, riang tawa, menangis, semuanya sudah melengkapkan kanvas lukisan saya sehari-hari dengan warna-warna suram dan terang.

Saya rindukan memblogging, sepertimana saya rindukan sentuhan nurani apabila membaca blog dari teman-teman rapat. Seharian, dalam perjalanan pergi dan pulang, saya kerap memikirkan, corak apa yang terbaik, warna apa yang sesuai untuk dipertontonkan. Hidup sebagai perantau atau musafir di bumi garuda ini, tidak semudah yang disangka. Tepatlah telaah hampir kesemua pihak, bermastautin di negara yang sedang membangun ini bukanlah kenangan indah jika dari sisi materialistik yang dijadikan ukuran.

Lewat jam 6 pagi, sebelum matahari sempat memanaskan jejak bumi, saya sudah berpergian. Melintasi jalan raya yang sibuk dengan kenderaan yang dipecut laju sudah lali di sini. Tiada masa yang sesuai untuk membuka buku, menjadikan saya terpaksa menelaah pelajaran di dalam angkutan awam, pergi dan pulang. Kadang diselang seli dengan rasa kantuk yang menghimpit diri.

Hampir jam 7 pagi, suasana sudah agak hingar bingar kayak di pasar buah, sibuk dengan follow up pasien masing-masing. Di dalam kesibukan masa, kami mencuri untuk makan, kami mencuri untuk solat dan pergi ke tandas. Sudah lama rasanya tidak merasai empuknya tilam di waktu on call. Hanya kerusi bersusun panjang di ruang pertemuan yang setia menjadi alas tidur saya. Bukan tidak mahu merebahkan diri di dalam kamar ko-ass yang disediakan, mungkin saya kini lebih selesa dengan gaya hidup sekarang.

Ada sampai satu tahap, saya terpaksa memegang hampir 18 pasien kerana tiada dokter muda yang lain selain kami berdua selama seminggu lamanya. Dimarahi oleh residen sampai menusuk kalbu yang kadang-kadang membuatkan saya berputus asa untuk meneruskan perjuangan di sini. Bukan dimarahi kerana teori yang tidak tersimpan kemas di dalam serebrum, tetapi prosedur atau resep obat yang meremehkan sering dijadikan alasan untuk menjadikan kami sebagai mangsa keadaan.

Pernah saya dimarahi dan kemudiannya di panggil bodoh oleh seorang residen kerana suatu prosedur. Berlinangan air mata ini melewati satu persatu katil pasien, lantas terus saya berkurung di dalam kamar ko-ass menangis semahunya meninggalkan visite yang diketuai oleh chief of ward. Saya agak berani bila memikirkan hak diri, yang kadang-kadang menakutkan teman saya.

Hari ini, sepatutnya, saya sudah pulang melelapkan mata kerana oleh kerana malam ini terpaksa on-call sekali lagi. Apabila keadaan memaksa untuk menyiapkan suatu makalah, saya pernah menaiki beca seorang diri di tengah malam menuju ke rumah sakit semula walaupun jam 9 malam tadi baru sampai ke rumah. Berani yang disematkan oleh Allah (SWT) jua dengan izinNya.

Apabila kita cuba merapatkan jurang antara seorang doktor dan pasien, pasien sangat menghargai kita, percayalah. Seorang pasien perempuan meluahkan rasa terharunya dapat disentuh oleh saya kerana saya seorang Malaysian, walaupun dia tidak pernah menjejak kaki ke bumi indah Malaysia, namun baginya, sekadar sentuhan kecil cukuplah baginya.

Saya pernah dijeling tajam oleh seorang pakcik tua kerana isterinya tidak mendapat layanan yang sempurna di rumah sakit yang bertaraf A ini. Menikam kalbu. Namun, Alhamdulillah, setiap hari, akhirnya dengan sendirinya pakcik dan isterinya melayan saya dengan mesra.

Terlalu banyak kenangan indah bersama pasien di sini. Kebetulan selama 3 minggu pertama, saya ditempatkan di wad pesakit wanita. Seorang suami naik berang dengan prosedur yang ingin dilakukan oleh rumah sakit kepada isterinya dan bagi saya, sememangnya wajar dilakukan kerana hemoglobin isterinya sudah mencapai 19, melebihi kadar normal. Sehingga dia mempersoalkan saya mempunyai Tuhan atau tidak, itu sudah agak keterlaluan.

Tengahari, hari yang bersamaan, dia datang berjumpa dengan saya. Meminta maaf di atas keterlanjuran dan kekasaran yang telah dilakukannya, hanya kerana saya seorang warga Malaysia, yang sangat komited dalam melayan pasien dengan penuh sabar dan mungkin juga tutur bahasa yang lembut. Dia akhirnya setuju setelah saya meyakinkan dia berkali-kali dan suami ini sendiri yang membandingkan realiti di sini dengan di Malaysia sewaktu bapanya mendapatkan rawatan di negara kita.

Dan, ibu Nora yang didiagnosa gagal ginjal kronik. Kadang, dalam kita melayari kehidupan sebagai seorang bakal doktor yang sangat cetek ilmunya, terbit suatu tanda tanya di benak fikiran. Umur yang masih muda tetapi sudah mengalami fungsi ginjal yang menurun. Saya hanya menuruti putar alam sehingga akhirnya berpindah ke wad lelaki.

Ada seorang teman yang bertanyakan, adakah dulu saya yang memegang ibu Nora. Saya hanya mengiyakannya dan dia menceritakan layanan yang dia dapat dari saya dan teman saya adalah cerminan dari solat kami, bukan seperti masyarakat di sini. Ya Allah (SWT), sampai sebegitu sekali dia menyanjung kami yang solat didirikan seharian lalai.

4 minggu lamanya, tidak ada satu hari yang dapat saya nikmati dengan satu tema, cuti. Cuti tidak wujud dalam istilah kamus ko-ass di bagian interna kecuali apabila tiba masanya. Seharian pulang agak lewat dan terkadang sehingga jam 10 malam, saya cuba meluangkan masa yang ada untuk me recycle iman yang semakin menurun.

Inilah pengorbanan yang dapat saya lakukan, pengorbanan yang tidak seberapa dalam bidang dakwah dan usrah. Petangnya pulang dari rumah sakit, saya terus menghadiri usrah. Usai usrah, saya terus mengelolakan usrah bersama adik-adik yang sangat saya cintai. Apabila masa yang ada dirasakan sedikit, kita akan sangat-sangat menghargai masa, sehinggakan rasanya tiada istilah rehat wujud dalam kamus seorang pejuang dakwah.

Majulah selangkah tapak ke hadapan dalam bidang dakwah dan jangan pernah menjadikah lelah sebagai satu alasan untuk berhenti melangkah.

 

 

 

Posted in General Musings | 2 Comments »